Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Banjir Seremban: Bomba pindah lelaki 260 kilogram -

Banjir Seremban: Bomba pindah lelaki 260 kilogram

BOMBA malam tadi membantu memindahkan seorang lelaki obesiti seberat 260 kilogram (kg) yang terperangkap selepas rumahnya dinaiki air hingga ke paras pinggang di Kampung Singh, Seremban.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai banjir di Jalan Tok Ungku jam 10.22 malam dan mendapat maklumat mengenai mangsa berusia 40 tahun yang terperangkap.

Beliau berkata, pasukan bomba Seremban dibantu BBP Ampangan bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa.

“Kami memakaikan jaket keselamatan dan mengusung keluar lelaki berkenaan sebelum memindahkannya ke Balai Raya Kampung Singh,” katanya, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor, berkata seramai 330 individu daripada 120 keluarga, terjejas banjir kilat di beberapa kawasan di daerah itu berikutan hujan lebat sejak 7 malam tadi.

Beliau berkata, antara kawasan terbabit adalah Kampung Ismail, Kampung Chedang, Taman Happy, Kampung Sri Mantau serta beberapa kawasan di Rasah dan Rahang.

Menurut beliau, rumah yang dinaiki air berada berdekatan sungai dan kawasan rendah menyebabkan air naik dengan cepat, namun keadaan masih terkawal.

“Paras air paling tinggi naik hingga 0.5 meter di beberapa kawasan, bagaimanapun tiada pusat pemindahan dibuka dan kebanyakan mangsa ditumpangkan di balai raya berhampiran sementara air surut sepenuhnya,” katanya.