[VIDEO] Wad penuh, pesakit di Seremban terpaksa cari hospital di Kuala Lumpur

0
1748

CAKAP-cakap mengenai kesukaran untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam dan swasta akibat wad penuh semakin banyak diperkatakan sejak kebelakangan ini.

SatuBerita menghubungi seorang ibu yang berkongsi pengalaman mencemaskan apabila tidak mampu menghantar anaknya ke hospital mendapatkan rawatan sewajarnya selepas diserang demam teruk.

Aina Baharis berkata, selepas diserang demam panas dengan suhu mencecah 38 dan 39 darjah selsius selama lima hari, beliau cuba memasukkan anak ke hospital di sekitar Seremban bagi mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Tujuh hospital saya hubungi semua penuh. Pada mulanya saya cuba sekitar Seremban, tetapi penuh.

“Saya cuba hubungi beberapa hospital di ibu negara. Akhirnya hanya Hospital Sunway di Petaling Jaya ada kekosongan,” katanya yang menambah anaknya kemudiannya disahkan menghidap influenza.

Mengulas lanjut, kebanyakan hospital tidak sanggup menerima anaknya kerana wad sudah penuh.

“Saya boleh katakan, 80 peratus pesakit yang sedang menunggu di Bahagian Kecemasan adalah daripada golongan kanak-kanak.

“Kebanyakannya memang tiada katil rawatan. Kalau ada pun, cuma boleh dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu,” katanya.

Aina menambah, usahanya mencari hospital bermula pagi, sebelum pada tengah hari berubah fikiran mencuba hospital di luar daerah dan pada petang mendapat pengesahan Hospital Sunway tentang kekosongan.

“Apabila ditunggu, hospital pun penuh. Jadi, saya ambil pilihan untuk hubungi hospital swasta di daerah lain dan Alhamdulillah, petang anak saya dapat masuk wad,” katanya.

Bagi Haznina Amiruddin, penyakit bronkitis yang dihidapi anaknya menambah kebimbangan apabila sukar untuk mendapatkan akses penuh bagi rawatan kesihatan.

“Dia mempunyai masalah batuk kira-kira dua minggu sebelum saya nampak pernafasannya semakin sukar dan kelihatan kesan lekuk di dadanya akibat pernafasan.

“Saya terus pergi ke Hospital Pakar Salam, Senawang, Negeri Sembilan tetapi mereka maklumkan sudah penuh,” katanya.

Katanya, pihak hospital telah memberikan talian bagi beberapa hospital lain untuk dihubungi bagi mendapatkan rawatan.

“Saya cuba hubungi lebih kurang dua hingga tiga hospital sebelum satu daripadanya memaklumkan ada kekosongan. Namun, kami juga terpaksa menunggu hampir empat jam sebelum berjaya memasukkan anak ke wad,” kongsinya.

Seorang lagi pengguna Facebook, KhairunNisa Walik turut mengakui perkara itu meskipun dia memilih mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Saya ke hospital swasta kerana memang sudah mempunyai insurans dan saya tahu prosesnya agak cepat.

“Tetapi, saya akui memang penuh hingga terpaksa menunggu keesokan hari untuk mendapatkan katil anak,” katanya -SB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here