Siti Nurhaliza bangunkan sekolah di Gaza

0
425

PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza gembira dan bersyukur apabila impian untuk membangunkan sebuah sekolah di Gaza, Palestin terlaksana.

Kata Siti, sekolah yang diberi nama sempena nama dua cahaya matanya, Afwa dan Afiyah itu menempatkan 50 pelajar, lelaki dan perempuan berumur seawal empat tahun yang mengikuti pendidikan awal dan hafazan al-Quran.

“RM10,000 diperuntukkan untuk operasinya termasuk bayaran tenaga pengajar. Kadangkala jumlahnya lebih sedikit bergantung kepada keperluan seperti membeli buku dan sebagainya.

“Sahabat kami di sana yang kendalikan sekolah tersebut akan sentiasa memaklumkan tentang pengajian, ujian dan peperiksaan serta sesi hafazan.

“Seronok tengok anak-anak ini. Impian saya dan suami nak pergi (ke sana) apabila keadaan mengizinkan” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Siti berkata demikian usai sidang media Showcase Persembahan amal Music of The Soul, An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza bertempat di hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Showcase istimewa yang akan diadakan November depan itu akan menampilkan penyanyi, Datuk Awie sebagai artis jemputan.

Menurut Siti, showcase berkenaan adalah yang pertama seumpamanya, menggandingkan beliau dengan legenda rock tanah air itu.

“Saya membesar dengan lagu-lagu daripada kumpulan Wings. Saya dan Awie akan menyanyikan empat lagu pada persembahan itu nanti.

“Showcase itu dianjurkan untuk mengumpul dana bagi menjayakan program-program amal dan kebajikan yang diselaraskan di bawah Yayasan Nurjiwa.

“Kami menyasarkan kutipan jualan (tiket) sebanyak RM1 juta untuk disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa bagi membantu golongan kurang bernasib baik dalam negara dan sekolah di Gaza,” ujarnya.

Showcase itu akan diadakan dua malam, pada 5 dan 6 November depan bertempat di Dewan Planery, KLCC.

Tiket dijual pada harga RM188, RM288, RM588, RM788, RM988 dan RM1,188. Untuk pembelian, layari laman web www.myticket.asia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here