Perodua Alza 2022 dilancar, harga bermula RM62,500

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperkenalkan Perodua Alza serba baharu dengan harga jualan bermula RM62,500 sehingga RM75,500.

Alza baharu datang dengan pakej menarik termasuk ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti enam beg udara, ciri Bantuan Keselamatan Termaju, tawaran digital yang dipertingkatkan, ruang yang luas dan keselesaan pemanduan yang lebih baik.

Perodua Alza baharu turut dilengkapi Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang boleh dibahagikan kepada empat kategori; Bantuan Keselamatan Termaju (ASA), Bantuan Pemandu, Bantuan Tempat Letak Kereta dan Bantuan Lampu Hadapan.

Gambar: PaulTan

Ciri terkini model baharu itu termasuk Pandangan Panoramik 360 darjah, Brek Letak Kereta Elektronik dengan Pegangan Brek Auto, Brek Cakera Belakang dan Mod Pemanduan Baharu: Normal, Eko dan Kuasa.

Sebanyak 30,000 tempahan diterima sehingga kini.

Bagi mereka yang menempah Perodua Alza serba baharu pada atau sebelum 30 Jun 2022 dan menerima kenderaan mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023 akan menikmati harga yang lebih rendah kerana mereka layak untuk inisiatif pengecualian cukai jualan.

Perodua Alza serba baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.