
Rang Undang-undang Anti-Gangguan Seksual 2021 (AGS 2021) diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
RUU itu diluluskan selepas perbahasan melibatkan 26 Ahli Parlimen yang dibentangkan sejak semalam dan hari ini untuk bacaan kali ketiga.
“Rang Undang-undang ini penting dan berketepatan pada masanya kerana kita akan tamatkan menormalisasikan gangguan seksual.
“Rang Undang-undang ini adalah langkah pertama bagi Malaysia untuk menyediakan perlindungan (kepada mangsa gangguan seksual) terhadap gangguan seksual,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam ucapan penggulungannya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kumpulan hak wanita seperti kumpulan Tindakan Bersama untuk Gender (JAG), kerajaan persekutuan dan agensi negeri serta Ahli Parlimen.
Rina berkata, kementeriannya akan menganjurkan “siri jelajah” (pelancongan) di seluruh negara untuk menyedarkan rakyat mengenai Akta Gangguan Seksual.
Pembentangan RUU gangguan seksual ditangguhkan beberapa kali sejak dua tahun lepas.
Pada Julai 2021, Rina berkata RUU itu akan dibentangkan tahun ini kerana berada di peringkat akhir.
RUU itu adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual; penubuhan Tribunal bagi Anti-Gangguan seksual; menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.
Rina ketika membentangkan RUU itu semalam berkata Akta AGS 2021 memperuntukkan kuasa tribunal yang ditubuh antaranya membuat suatu “award” termasuk perintah bagi responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu.
Tribunal juga boleh memerintah responden membayar pampasan atau ganti rugi yang tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu.
Rina berkata, sebarang “award” yang diperintahkan oleh Tribunal bagi Anti-Gangguan Seksual disifatkan sebagai suatu perintah mahkamah dan ketidakpatuhan apa-apa “award” yang dibuat oleh tribunal boleh dikenakan penalti jenayah.
Beliau berkata, selain itu terdapat peruntukan bahawa semua pendengaran di hadapan tribunal hendaklah tertutup kepada orang awam.