Kanak-kanak maut, 11 selamat nahas empat kenderaan

0
541

SEORANG kanak-kanak maut manakala 11 lagi terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 425.9, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 berhampiran susur keluar Kuala Terengganu, di sini, malam semalam.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd. Yusuf, pihaknya menerima panggilan 11.47 malam sebelum seorang pegawai dan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, kemalangan itu membabitkan sebuah lori, sebuah Proton Saga FL serta kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dan Mitsubishi Pajero yang dinaiki keluarga kanak-kanak berkenaan.

“Setibanya di lokasi didapati enam mangsa iaitu sebuah keluarga tercedera termasuk seorang kanak-kanak yang tercampak keluar lima meter daripada kenderaan dipandu bapanya. Suami isteri dan empat anak mereka itu dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang ramai manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Anak sulung keluarga itu, Sayyeda Khadeja Mohd. Nazri, 10, bagaimanapun meninggal dunia pada pukul 2.19 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pemandu kereta Proton Saga FL, Muhd. Nazif Hairuzamil, 24, berkata, dia dalam perjalanan menuju Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur sebelum melalui kawasan kemalangan itu.

“Ketika kejadian, kemalangan itu sudah berlaku dan saya cuba mengelak lori terbabit namun kereta saya terlanggar sebuah sebuah pacuan empat roda yang sudah remuk di lorong kanan lebuh raya. Selepas keluar daripada kereta saya lihat sebuah Pajero lain dalam keadaan terbalik dan terdengar tangisan kanak-kanak sebelum orang ramai mula berhenti memberi bantuan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here