Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
'Saya tak nak panjang-panjang... serah pada PM' -

‘Saya tak nak panjang-panjang… serah pada PM’

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan berhubung isu lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU hanya menjawab ringkas ketika diminta mengulas sama ada jawatan TPM wajar dipertimbangkan semula selepas mengambil kira langkah penjimatan diumumkan kerajaan melalui Kementerian Kewangan.

“Yang itu saya nak jawab ringkas. Saya tak nak panjang-panjang. Pasal itu saya kata serah pada Perdana Menteri dan ikut pertimbangan yang bijaksana,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Blood Donation Drive di Centre Court, Mid Valley, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG), Datuk Zainuddin Mohd Radzi dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Afifah Hassan.

Terdahulu Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting dan supaya perjanjian PN dengan perdana menteri, termasuk berkaitan pelantikan TPM dapat dipertimbangkan.

Sementara itu, mengulas tindakan kerajaan mengambil langkah berjimat membabitkan semua kementerian dan agensi, beliau melihat tindakan itu sebagai wajar, namun meminta ia mesti mengambil kira bebanan semasa rakyat.

“Itu wajar, tetapi apa pun langkah kerajaan nak ambil, mesti ambil kira supaya ia tak (menyebabkan) beban meningkat dan bertambah kepada rakyat, potong subsidi, potong itu ini.

“Cara nak dilaksanakan… adakah buat mengejut atau berfasa-fasa,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, perkara itu mesti dibuat secara teliti supaya proses pemulihan ekonomi negara berjalan lancar.

“Saya tak nak nasihat, saya fikir Menteri Kewangan mesti fahamlah. Kalau kerajaan berterusan seperti ini, ekonomi dan mungkin kewangan negara akan bertambah lebih teruk. Saya tak kata saya bersetuju atau tidak bersetuju, kita nak tengok apa perakuan yang akan dibuat dan mungkin MPN akan teliti perkara itu sama ada langkah itu dianggap tepat atau sebaliknya,” katanya.

Media semalam melaporkan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

Arahan itu dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam’ ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon dan berkuat kuasa mulai Rabu.