SEORANG lelaki ditahan selepas melakukan jenayah samun bersenjatakan pisau terhadap remaja lelaki dalam kejadian yang berlaku di dalam lif sebuah apartmen sekitar Desa Aman Puri, Gombak 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan itu ditahan sekitar pukul 8 malam pada Jumaat lalu.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek yang berusia 18 tahun itu terlibat dalam kes samun tersebut.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, senjata dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu, lapor Kosmo Online.
Jelasnya, suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan pada Sabtu.
Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan suspek yang bersenjatakan sebilah pisau telah melakukan rompakan ke atas remaja berkenaan di dalam sebuah lif.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.