Cili kampung dan timun antara sayuran yang dilihat mengalami kenaikan harga lebih 30 peratus sejak dua minggu lalu.
Seorang peniaga sayur, Nor Suhaili, 48 berkata, kenaikan paling ketara apabila musim perayaan dan memang ada pelanggan yang tidak berpuas hati kerana peniaga menjual pada harga mahal, tetapi peniaga tiada pilihan kerana harga yang diterima juga sudah mahal.
“Harga sayur memang naik lebih 20 peratus masa raya baru ini, tetapi selalunya harga akan turun apabila lepas raya,” katanya
Dia berkata, cili kampung dijual pada harga RM28 hingga RM30 sekilogram berbanding RM24 sebelum ini dan antara yang paling terkesan adalah mereka yang berniaga kerana membeli dengan jumlah banyak.
“Pelanggan yang beli sedikit (RM2 ke RM3) selalunya tidak terlalu terasa dengan kenaikan harga ini, tetapi peniaga selalu mengeluh dan ada juga pelanggan yang marah dengan kami (peniaga sayur), mereka ingat kami sengaja menaikkan harga untuk untung lebih.
“Namun, ada juga pelanggan yang memahami situasi sekarang yang mana memang harga turun, naik tak menentu, seperti kami peniaga kecil ini memang bergantung kepada harga yang ditetapkan pembekal.
“Untung jual sayur sebenarnya tak tinggi, belum kira yang rosak dan kalau kami naikkan harga terlampau mahal sudah pasti pelanggan tak nak beli, jadi memang kami untung kecil saja,” katanya.
Menurutnya, cili besar merah paling mendapat permintaan daripada pelanggan dan harganya pula mengikut gred iaitu RM22 sekilogram bagi Kulai A dan cili merah import RM12 ke RM14 sekilogram.
Dalam pada itu, peniaga sayur yang mahu dikenali sebagai Erin berkata, harga tomato dan timun sebelum ini RM3.50 sekilogram, namun naik kepada RM7 kerana kenaikan kos pengangkutan.
Katanya, bekalan diperoleh memang sudah mahal seperti harga salad dan halia juga melonjak kerana diimport, namun harga untuk lobak merah, kangkung masih kekal antara RM2 dan RM3 sekilogram manakala sawi RM6 dan bayam RM4.50.
Menurut laporan Harian Metro, peniaga di Pasar Seri Kembangan di Kuala Lumpur rata-rata mendakwa harga sayur terpaksa dinaikkan berikutan harga yang diterima daripada pembekal sudah tinggi.
Sementara itu, selain sayur, harga buah-buahan juga didapati meningkat antara 20 ke 30 peratus terutama buah epal, mangga, cempedak.
Peniaga, Zulhafri Zaidi, 39 berkata, harga buah-buahan ketika ini bergantung kepada musim dan pembekal dari Thailand.
“Sebab itu harga naik kerana kos penghantaran dari Thailand. Sekarang di luar musim cempedak dan rambutan. Saya jual rambutan antara RM8 hingga RM10 sekilogram.
“Bagi epal dan limau harga juga naik daripada pembekal, jika dulu harga modal sebiji 40 ke 50 sen sekarang 60 sen hingga 80 sen bergantung kepada gred buah.
“Walaupun harga naik, saya masih tetap berniaga kerana ini mata pencarian utama saya, tetapi ada juga rakan saya yang terpaksa berhenti meniaga kerana tidak dapat menampung modal yang semakin meningkat,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.