Sempat beli rumah guna hasil rompakan

0
344

SEORANG daripada tiga suspek yang merompak sebuah rumah di Grogol Petamburan, Jakarta Barat, Indonesia, dikatakan sempat membeli kediaman dengan hasil samun itu.

Dalam kejadian 3 Julai lalu, semua suspek membawa lari jongkong emas seberat lima kilogram (kg) dan sijil bon serta beberapa barangan berharga lain sebelum hasil itu dijual serta diagihkan sesama mereka.

Memetik laporan Kompas, Jurucakap Unit Siasatan Jenayah Polis Jakarta Barat, Joko Dwi Harsono dalam sidang media Jumaat lalu mendedahkan, rumah yang dibeli suspek di daerah Bekasi, Jawa Barat.

“Hasil samun dibahagikan dan digunakan untuk keperluan harian serta membayar hutang.

“Seorang suspek mampu membeli rumah di Bekasi dan menghantar wang untuk anaknya yang sekolah di luar negeri,” katanya.

Joko berkata, terdapat sijil sekuriti yang dicuri suspek namun dibuang begitu sahaja kerana kesukaran untuk menjualnya.

“Ia dibuang kerana enggan perbuatan terbongkar sekiranya dijual,” katanya memaklumkan semua suspek sudah lama memantau pergerakan rumah mangsa sebelum menyamun.

Ketika ini, polis masih memburu seorang lagi suspek dengan nama Siswanto yang dikatakan memperoleh hasil samun lebih banyak berbanding rakannya yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here