Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi -

Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi

DUA anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut setelah dihempap pokok sewaktu menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak dalam insiden pada awal pagi tadi.

TDM dalam kenyataan malam ini memaklumkan mangsa terbabit ialah Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, yang merupakan anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada kira-kira 2.30 pagi di sebuah pangkalan sementara dalam kawasan operasi pasukan tersebut yang telah dilanda ribut kencang. 

“Setelah keadaan tenang pada kira-kira 2.50 pagi, pemeriksaan keselamatan dibuat sebelum mendapati kedua-dua anggota telah meninggal dunia akibat ditimpa pokok,” menurut kenyataan itu.

TDM menzahirkan ucapan takziah kepada Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan Nurummi Amirah Chepa, yang masing-masing merupakan isteri kedua-dua anggota tentera serta seluruh ahli keluarga mangsa.

“TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga,” katanya.

Jenazah Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah manakala jenazah Muhammad Zaki pula di Chuping, Perlis.

Di IPOH, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian kedua-dua anggota tentera pada 11.50 pagi.

“Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera dengan menggunakan helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia ke 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

“Mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa. – BERNAMA