SEORANG wanita maut selepas kereta yang dinaikinya dipercayai terbabas sebelum terbalik di Jalan Sungai Siput-Khantan, Sungai Siput, Perak, malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai nahas pada jam 8.08 malam.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Proton Satria telah terbabas, lalu terbalik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jurucakap itu berkata, turut cedera dalam kemalangan berkenaan ialah tiga lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang berada di dalam kereta tersebut.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta dan menyerahkannya kepada pihak ambulans serta polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Samsu Bahrin Aziz tamat jam 9.35 malam.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.