Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit -

Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

SEORANG kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun ditemui mati dipercayai akibat lemas dalam parit di Kampung Kuridak Gadong, Beaufort pagi tadi.

Memetik laporan FMT, mangsa, Muhammad Qays Izhar Abd Alim dilaporkan hilang semalam.

Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 10.23 pagi, kira-kira 70 meter dari kawasan dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada 10.30 pagi, semalam.

Menurut beliau, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.

“Pada 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat kanak-kanak terbabit ditemui penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi.

Yusoff Zaki berkata, mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.

Katanya, mangsa dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.

“Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.