Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Suami isteri ditemui maut dipercayai dibunuh ahli keluarga -

Suami isteri ditemui maut dipercayai dibunuh ahli keluarga

SEPASANG suami isteri ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai dibunuh oleh seorang ahli keluarga itu sendiri di ruang tamu rumah mereka di Taman Bercham Aman di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menimpa mekanik Ng Chun Hon, 64, dan suri rumah Ooi Tin Lu yang berumur 59 tahun itu pada kira-kira pukul 8.50 pagi daripada abang kepada Chun Hon.

Beliau berkata pengadu memberitahu bahawa dia menemui adik lelaki bersama isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah semasa dia balik ke rumah itu selepas tamat bekerja.

“Pasukan polis bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah ke tempat kejadian dan mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan, tersandar pada dinding, dan mereka dipercayai mati akibat kecederaan pada bahagian kepala disebabkan senjata tajam serta objek tumpul, namun tiada senjata yang ditemukan.

“Siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan di rumah ini dan kedua-dua mereka dipercayai telah meninggal dunia malam tadi. Ibu mangsa yang berumur 90-an, uzur dan berkerusi roda, turut berada dalam rumah ketika kejadian, namun tidak diapa-apakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Yahaya berkata polis sedang mencari adik lelaki Chun Hon yang dikenali sebagai Ng Chun Ming, 61, yang menghilangkan diri bersama kereta Proton Saga dengan nombor pendaftaran PHU 8608, bagi membantu siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penganggur dengan rekod jenayah lampau kes mendatangkan kecederaan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Nor Azalina Rais Ahmad dengan menelefon 0136282176 bagi membantu siasatan.

Menurutnya kedua-dua mayat telah dihantar ke HRPB untuk dibedah siasat.