PM Britain, Boris Johnson setuju letak jawatan

0
311

MEDIA Britain melaporkan Perdana Menteri, Boris Johnson setuju untuk meletakkan jawatan, sekali gus menamatkan krisis politik yang melanda pentadbiran beliau.

Bagaimanapun, Johnson dikatakan akan kekal memegang jawatan tersebut sehingga musim luruh akan datang atau kira-kira dua bulan lagi sehingga partinya dapat mencari pengganti.

Pengumuman peletakan jawatan beliau berlaku selepas Johnson ditinggalkan oleh menteri dan ahli parlimen Parti Konservatif yang mengatakan dia tidak lagi layak untuk menyandang jawatan itu.

Dengan lapan menteri, termasuk dua setiausaha negara meletak jawatan dalam dua jam terakhir, Johnson yang dipulaukan telah bersedia untuk tunduk kepada perkara yang tidak dapat dielakkan dan mengisytiharkan beliau akan berundur.

Pejabatnya di Downing Street, London mengesahkan bahawa Johnson akan membuat kenyataan kepada negara itu tidak lama lagi, menurut laporan BH Online.

Selepas berhari-hari berjuang untuk jawatannya, Johnson telah ditinggalkan oleh semua orang kecuali segelintir sekutu selepas siri skandal terbaru mematahkan kesediaan mereka untuk menyokongnya.

“Peletakan jawatannya tidak dapat dielakkan. Sebagai sebuah parti, kita mesti cepat bersatu dan memberi tumpuan kepada perkara yang penting. Ini adalah masa yang serius dalam banyak perkara,” kata Timbalan Pengerusi Parti Konservatif, Justin Tomlinson menerusi Twitter.

Pihak Konservatif kini perlu memilih pemimpin baharu, satu proses yang boleh mengambil masa kira-kira dua bulan.

Sebagai tanda sokongannya yang semakin hilang dalam satu daripada 24 jam paling bergelora dalam sejarah politik Britain baru-baru ini, menteri kewangan Johnson, Nadhim Zahawi, yang hanya dilantik ke jawatannya pada Selasa, telah meminta Perdana Menteri itu untuk meletak jawatan.

“Ini tidak mampan dan ia hanya akan menjadi lebih teruk: untuk anda, untuk Parti Konservatif dan yang paling penting di seluruh negara, anda mesti melakukan perkara yang betul dan pergi sekarang,” kata Zahawi menerui Twitter.

Selain itu, sebahagian daripada mereka yang kekal dalam jawatan, termasuk Menteri Pertahanan, Ben Wallace berkata mereka hanya berbuat demikian kerana mereka mempunyai kewajipan untuk menjaga keselamatan negara.

Johnson juga dilaporkan sudah bertemu Ratu Elizabeth sebagai penghormatan menjelang pengumuman rancangan peletakan jawatannya, kata Timbalan Pengarang Politik ITV, Anushka Asthana pada Khamis.

Johnson mula memegang jawatan hampir tiga tahun lalu, berjanji untuk melepaskan Britain keluar dari Kesatuan Eropah dan menyelamatkannya daripada pertelingkahan sengit selepas referendum Brexit 2016.

Sejak itu, beberapa ahli Konservatif dengan penuh semangat menyokong bekas wartawan dan Datuk Bandar London itu sementara yang lain menyokongnya kerana dia dapat merayu kepada sebahagian daripada pengundi yang biasanya menolak parti mereka meskipun berada dalam keadaan ragu-ragu dalam pilihan raya Disember 2019.

Namun, pendekatan pentadbiran Boris yang agresif dan sering huru-hara dalam mentadbir selain beberapa siri skandal telah melemahkan ramai penggubal undang-undangnya

Di samping itu, tinjauan pendapat menunjukkan beliau tidak lagi popular dalam kalangan orang ramai.

Krisis baru-baru ini tercetus selepas ahli parlimen Chris Pincher, yang memegang peranan kerajaan yang terlibat dalam penjagaan pastoral, terpaksa berhenti kerana tuduhan dia meraba-raba lelaki dalam kelab persendirian.

Johnson terpaksa meminta maaf selepas dia dimaklumkan bahawa Pincher telah menjadi subjek aduan salah laku seksual sebelum dia melantiknya.

Ini disusuli skandal dan kesilapan berbulan-bulan, termasuk laporan buruk mengenai pesta mabuk di kediaman dan pejabatnya di Downing Street sehingga melanggar perintah berkurung Covid-19 yang ketat dan menyaksikan dia didenda oleh polis atas perhimpunan untuk ulang tahunnya yang ke-56.

Terdapat juga polisi yang sering berubah, pembelaan seorang ahli parlimen yang melanggar peraturan melobi, dan kritikan bahawa dia tidak melakukan usaha yang cukup untuk menangani inflasi, dengan ramai rakyat Britain bergelut untuk menghadapi kenaikan harga bahan api dan makanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here