KPM bangunkan tiga sistem dalam talian bantu pengurusan guru, sekolah

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang membangunkan tiga sistem secara dalam talian bagi membantu pengurusan sekolah sekali gus memudahkan tugas guru.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata sistem berkenaan melibatkan sistem penyusunan jadual pembelajaran, sistem pengurusan utiliti dan sistem pelaporan pembelajaran dan pengajaran (PdP) guru.

Menurunya, selaras dengan digitalisasi, KPM perlu mengambil peluang untuk menambah baik sistem pengurusan dan kecekapan sumber selain mentransformasikan pedagogi pendidikan negara supaya cenderung ke arah yang lebih menarik.

“Untuk sistem pengurusan utiliti, kami sudah dalam peringkat akhir dan ada prototaip telah siap. Ada lagi penambahbaikan perlu dibuat dan kami harap tahun ini sistem tersebut dapat digunakan.

“Bagi sistem penjadualan waktu pembelajaran, kami dapati ada sekolah yang buat secara manual dan ada juga sekolah beli sistem dari vendor luar. Kami sedang bangunkan sistem itu untuk kegunaan sekolah seluruh negara dan harap boleh digunakan secepat mungkin,” katanya, lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) 2021, di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Khamis.

Jelasnya, sistem berkenaan dalam proses libat urus dengan pemengang taruh termasuk pihak pengurusan sekolah bagi memastikan sistem berkenaan menepati keperluan untuk menyusun jadual pembelajaran murid.

Tambahnya, sistem pelaporan PdP pula dibangunkan bagi menyelaraskan serta memudahkan guru untuk menghantar data kepada satu platform yang boleh diakses daripada pelbagai peringkat.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata pendidikan berasaskan digital bukan lagi pilihan sebaliknya keperluan selaras dengan perkembangan revolusi industri 4.0 (IR4.0) selain melahirkan murid dan generasi fasih digital.

“Kami mahu melahirkan murid yang fasih digital dan mampu bersaing mengikut keperluan semasa. Melalui pendidikan digital, kita mampu menambah baik pedagogi pendidikan.

“Guru mahir bidang digital mampu menghasilkan pendekatan pedagogi pendidikan lebih menarik selaras perkembangan IR 4.0,” katanya.