JHEAT lengkapkan siasatan wanita kedai air buah

JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan seorang wanita yang tular di media sosial kerana berkelakuan dan berpakaian tidak senonoh di sebuah kedai makan di Setiu.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan wanita berusia 30-an selepas dia ditahan di premisnya kira-kira jam 5 petang pada Selasa.

JHEAT sudah merakamkan keterangan wanita terbabit sebelum dia dibebaskan dengan bon jaminan.

“Kita boleh panggil dia balik bila-bila masa dan kita juga sedang berusaha untuk mendapatkan saksi-saksi yang tahu isu atau terbabit dalam kes ini.

“Insya-Allah, selepas itu kita akan serahkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah untuk tindakan seterusnya untuk dibuat pendakwaan di bawah seksyen sama ada berpakaian tak senonoh atau melakukan sesuatu yang tidak bermoral.

“Kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001,” katanya lapor BH Online.

Beliau ditemui selepas Majlis Penghayatan Sambutan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1443H/2022M di Dewan Perdana, Al-Wathiqu Billah di sini.