SEORANG lelaki maut akibat terkena tembakan senapang rakannya di kawasan hutan berhampiran Sungai Gabai di Batu 18, Hulu Langat, Selangor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima maklumat berhubung seorang lelaki berusia 32 tahun terkena tembakan di lokasi terbabit pada jam 7.15 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan bersama tiga rakannya masuk ke lokasi itu untuk ke kawasan kebun durian yang berada di atas lereng bukit yang terletak kira-kira dua kilometer perjalanan.
“Setakat ini, siasatan mendapati ketika dalam perjalanan salah seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah tergelincir di lereng bukit sebelum berlaku tembakan,” kata Mohd Zaid dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor BH Online.
Tambahnya, mangsa yang berada di bahagian belakang pada jarak kira-kira tiga meter terkena tembakan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan dilakukan bersama Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pada badan mangsa terdapat beberapa kesan tembakan peluru penabur dipercayai daripada senjata api yang dibawa rakannya itu.
“Semakan dilakukan mendapati senjata api terbabit dilesenkan atas nama bapa saudara kepada salah seorang daripada rakan mangsa,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata pihaknya menahan tiga rakan mangsa berusia antara 36 hingga 43 tahun bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 bagi membantu siasatan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.