Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Waktu bekerja empat hari seminggu belum sesuai dilaksana di Malaysia - CUEPACS -

Waktu bekerja empat hari seminggu belum sesuai dilaksana di Malaysia – CUEPACS

WAKTU bekerja empat hari seminggu masih belum sesuai dilaksanakan di Malaysia ketika ini, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata ia berikutan terdapat perkara lain melibatkan hal-hal kebajikan serta kadar gaji semasa pekerja yang belum diselesaikan kerajaan dan majikan.

“Tumpuan seharusnya diberikan kepada perkara yang memberi manfaat kepada warga pekerja berbanding mengkaji perkara yang tidak sepatutnya dilaksanakan buat masa kini.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, sudah tentu perkara berkaitan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta kebajikan warga penjawat awam perlu diberikan keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata kerajaan perlu memfokuskan kepada isu pekerjaan yang lebih penting dan yang sudah diumumkan tetapi masih pada peringkat kajian atau tidak dilaksanakan lagi walaupun sudah dikuatkuasakan.

Beliau berkata antaranya ialah pelaksanaan gaji minimum melalui sistem saraan baharu, penebusan awal gantian cuti rehat serta kenaikan pangkat secara ‘time based’ yang dipendekkan sebelum ini.

Khamis lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji pelaksanaan waktu bekerja empat hari dalam seminggu berikutan terdapat tuntutan beberapa pihak yang mahu kerajaan melihat perkara berkenaan dengan lebih terperinci.

Beliau turut menyeru semua warga perkhidmatan awam untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing dan tidak hilang fokus dalam isu pelaksanaan empat hari bekerja seminggu.

“Cuepacs berharap pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam dapat menjaga keharmonian dalam kalangan kakitangan dengan mematuhi peraturan semasa perkhidmatan.

“Sebarang keputusan berkaitan sumber manusia harus dibuat berdasarkan peraturan sedia ada bagi mengelak kerugian modal insan,” katanya.

— BERNAMA