[VIDEO] Kerajaan Pusat, Negeri perlu ganding bahu percepat pemulihan negara – Muhyiddin

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) memerlukan kerjasama daripada Kerajaan Pusat dan Negeri dalam usaha mempercepatkan proses pemulihan pasca pandemik di seluruh negara.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan proses pemulihan negara buat masa ini masih agak lambat dan menegaskan tanggungjawab mempercepatkan proses itu bukan hanya terletak pada bahu MPN sahaja.

“Sepatutnya bebanan itu mesti dikongsi bersama kerajaan kerana fungsi MPN hanya beri pandangan dan nasihat kerana kami tiada kuasa eksekutif.

“Tetapi , MPN akan menjana idea dan cadangan yang dikumpul daripada ahli-ahli majlis bagi membantu percepatkan proses pemulihan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Pimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, pada Sabtu.

Mengulas mengenai peranan kerajaan negeri, Muhyiddin telah mengesyorkan kerajaan untuk mewujudkan Majlis Pemulihan Negeri dalam usaha mempercepat tindakan bagi menyelesaikan masalah berbangkit di dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

“Banyak urusan pentadbiran atau berkaitan perniagaan mempunyai kaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri ataupun pihak berkuasa tempatan negeri yang mana ini tidak terletak haknya kepada Kerajaan Persekutuan.

“Sewajarnya kerajaan negeri turut sama bertindak dan mengambil langkah yang perlu untuk menyelesaikan isu berbangkit terutamanya memberikan bantuan kepada usahawan Bumiputera yang kecil supaya lebih mudah menjalankan perniagaan,” ulasnya.

Justeru katanya, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri perlu berganding bahu mengambil langkah sewajaranya dalam menangai masalah berbangkit dengan pandangan dan saranan daripada MPN.

“Jadi, peranan MPN adalah mengumpul maklumat, pandangan dan nasihat pakar dalam majlis. Tapi apa yang lebih penting, sepantas mana tindakan yang diambil oleh kerajaan,” ujarnya.—SB.