SEORANG jurujual kerugian apabila wang simpanannya RM16,500 lesap akibat diperdaya sindiket Macau Scam semalam, selepas dituduh terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 31 tahun mula diperdaya selepas menerima panggilan daripada pihak bank yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran bulanan kad kredit.
“Mangsa menafikan perkara tersebut, namun talian mangsa disambungkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes jenayah.
“Kemudian Mangsa diminta menyerahkan butiran perbankan dalam talian iaitu ID bersama kata laluan dengan alasan untuk memudahkan seliaan dan pemantauan.
“Mangsa menyerahkan segala butiran maklumat akaun kepada lelaki yang dikenali sebagai Suhaimi Ali kononnya daripada pihak BNM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, mangsa menyedari ditipu apabila terdapat tiga transaksi dipindah secara berperingkat.
“Transaksi berjumlah RM8,000, RM7,000 dan RM1,500 yang dipindahkan ke dalam akaun sebuah bank yang tidak dikenali.
“Mangsa kemudiannya pergi ke Balai Polis Teluk Intan untuk membuat laporan polis setelah merasa dirinya tertipu,” katanya.
“Orang ramai diingatkan jangan mudah percaya kepada panggilan telefon yang tidak dikenali selain tidak melayan layan panggilan tersebut bagi mengelakkan diperdaya sindiket Macau Scam ini.
“Mana-mana agensi tidak boleh menyambungkan sebarang panggilan telefon yang dibuat ke atas orang awam kepada agensi berbeza dalam satu panggilan sama,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.