TIGA lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rusuhan dan perbuatan khianat terhadap beberapa buah kereta yang diparkir di tepi Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, ibu negara telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata insiden tersebut tular menerusi sebuah video yang dikongsikan menerusi beberapa laman sosial Isnin lalu.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 41 tahun dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman.
“Usaha mengesan suspek yang masih bebas masih diteruskan dan individu terlibat dalam insiden itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya pada Jumaat, lapor Astro AWANI.
Terdahulu, satu video menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh dan melakukan khianat pecah cermin kereta terhadap beberapa kereta tular di media sosial.
Amihizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.