Harga siling ayam RM9.40 terlalu tinggi untuk B40 – Subbarow

0
297

HARGA siling ayam standard yang ditetapkan kerajaan dengan harga RM9.40 berbanding RM8.90 sebelum ini dilihat sangat tinggi bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, harga tersebut akan membebankan golongan tersebut melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan semula harga tersebut bagi meringankan beban pembeli terutamanya kepada golongan tersebut.

“Tinjauan kita mendapati, harga siling yang ditetapkan adalah terlalu tinggi. Ia akan membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).

Dalam pada itu, Subbarow turut memohon agar pihak berkuasa memastikan peniaga tidak mengenakan caj kepada ayam yang dipotong.

“Dengan mengenakan caj untuk memotong ayam, ia akan menyebabkan harga ayam semakin meningkat.

“Sudah lah harga siling RM9.40 sekilogram, ditambah pula dengan caj potong antara RM1 hingga RM2, ia akan menyebabkan harga ayam semakin meningkat,” katanya.

Beliau turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan agar lebih peka berhubung isu caj potong ayam itu.

“Kementerian terbabit perlu memberi jaminan kepada pengguna yang menjual ayam bahawa mereka tidak akan dikenakan bayaran untuk memotong ayam.

“Pegawai penguat kuasa juga perlu ditempatkan di pasar basah yang popular untuk memantau harga jualan ayam supaya peniaga tidak sesuka hati menaikkan harga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here