Pijak pemuda sampai mati, peniaga dijatuhkan hukuman gantung

TINDAKAN seorang peniaga yang memijak kepala seorang lelaki selama seminit sehingga menyebabkan kematian enam tahun lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada Rabu.

Tertuduh, S. Pandiaraj kelihatan tenang ketika Hakim Datuk Ahmad Nafsy Yasin memutuskan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munsabah pada akhir pembelaan.

Ahmad Nafsy dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati kecederaan dialami mangsa, S. Ammos Devaprraven, 27, tidak selari dengan kemalangan jalan raya seperti yang didakwa saksi, tetapi disebabkan pijakan berkali-kali yang ditumpukan pada bahagian kepala.

Katanya, berdasarkan penelitian keterangan saksi pendakwaan dan disokong oleh saksi forensik, tindakan tertuduh sendiri telah menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut.

“Selepas menimbang dengan berhati-hati, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan keterangan munsabah terhadap kes dibawa pihak pendakwaan.

“Mahkamah tiada option (pilihan) kecuali hukuman gantung sampai mati,” kata Ahmad Nafsy, lapor Bernama.

Terdahulu, mengikut pertuduhan, S. Pandiaraj bersama dua lagi individu yang masih bebas didakwa bagi mencapai niat bersama telah melakukan jenayah bunuh dengan menyebabkan kematian mangsa di hadapan Chithras Mini Mart, Jalan Tun Ali di daerah Melaka Tengah, sekitar jam 4.30 pagi, 21 Oktober 2016.

Mangsa telah dipijak selama seminit selepas tertuduh tidak berpuas hati akan kata-kata yang dikeluarkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Melaka oleh saksi.

Mereka kemudiannya membuat laporan palsu yang mendakwa si mati dilanggar lari.

Bagaimanapun, salah seorang daripada saksi telah menghubungi abang si mati dan memberitahu perkara sebenar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatory jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli sementara tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja.