Zahid Hamidi pinta tangguh prosiding bela diri

0
348

PENDAKWAAN akan mengemuka bantahan terhadap permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan prosiding bela diri kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Ahmad Zahid memohon menangguhkan perbicaraan itu sehingga rayuan beliau untuk mendapatkan salinan rakaman percakapan saksi, termasuk rakaman percakapan adiknya Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan anak perempuannya, Nurulhidayah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Melalui afidavit sokongan yang diikrarkannya, Presiden UMNO itu berkata, permohonan itu bukan bertujuan untuk melengah-lengahkan atau melewatkan perbicaraan kerana beliau sudah memberikan keterangan pada peringkat pemeriksaan utama.

Beliau berkata, haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil akan terjejas tanpa salinan rakaman percakapan itu dan ingin memberikan keterangan lebih lanjut terhadap pertuduhan dihadapinya.

“Saya juga menyatakan permohonan ini bersifat bona fide (berniat baik) untuk memastikan saya mendapat perbicaraan yang adil dalam penyediaan pembelaan di mahkamah.

“Oleh yang demikian, saya menegaskan wajar dan adil bagi saya untuk mendapat penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan daripada Mahkamah Rayuan,” katanya, lapor BH Online.

Sebelum ini pada 9 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Ahmad Zahid dengan alasan dasar dan kepentingan awam, iaitu saksi boleh terdedah kepada intimidasi dengan mengambil contoh, diugut supaya memberikan keterangan berbeza daripada yang dinyatakan dalam rakaman percakapan.

Dalam prosiding perbicaraan kes itu hari ini, Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, pihaknya sudah memfailkan notis usul permohonan pada 23 Jun lalu dan memohon supaya ia didengar secepat mungkin.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob mengesahkan sudah menerima permohonan berkenaan melalui e-mel pada Sabtu lalu dan memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.

Katanya, pihaknya akan mengemuka bantahan terhadap permohonan itu.

Sequerah kemudian menetapkan 7 Julai depan untuk mendengar permohonan berkenaan.

Ahmad Zahid sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here