Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kereta terjunam dalam sungai, 3 beranak berpelukan ketika ditemukan lemas -

Kereta terjunam dalam sungai, 3 beranak berpelukan ketika ditemukan lemas

SEBUAH kereta membawa tiga beranak yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, Kedah petang Sabtu, ditemukan lemas awal pagi tadi.

Mayat Masyitoh Ibrahim, 37, yang merupakan seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selarong, bersama dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dijumpai kira-kira jam 3.30 pagi di bahagian belakang kereta terbabit yang tenggelam di dasar sungai berkenaan, lapor BH Online.

Kereta jenis Proton Persona itu ditarik keluar dari dasar sungai pada kedalaman hampir lima meter dengan bantuan kren sebelum mayat ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan seakan-akan saling berpelukan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron, berkata terdahulu pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya serta Baling melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) setelah menerima panggilan pada jam 6.42 petang berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pasukan kemudian berjaya mengesan kedudukan kereta terbabit di dasar sungai itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Anggota melakukan penandaan di tempat yang dikenal pasti sebelum anggota penyelam daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman, mengesahkan kenderaan itu berada di lokasi.

“Susulan itu, proses menaikkan kenderaan terbabit dilakukan mulai jam 11.30 malam hingga 3.30 pagi tadi. Kereta itu kemudian berjaya dibawa naik ke atas jambatan, katanya kepada media di lokasi pencarian, awal pagi Ahad.

Ketiga-tiga mangsa ditemukan tidak tersepit di bahagian belakang kereta dan kesemua mereka sudah berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Syufaat memaklumkan, mayat Mashitoh berjaya dikeluarkan pada jam 3.32 pagi diikuti kedua-dua anaknya selang dua minit kemudian, dalam operasi yang turut dibantu penduduk kampung, polis, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada mulanya pasukan menghadapi cabaran di mana anggota telah mengikat rantai besi pada mata kren tetapi ia tercabut akibat arus deras.

Justeru, katanya, cubaan kedua dilakukan dengan melilit rantai besi itu pada tayar kereta dengan lebih ketat sebelum kenderaan itu berjaya dinaikkan.

“Ketika ditemukan, semua mangsa dalam kereta berkenaan nampak seakan-akan saling berpelukan, dipercayai apabila kenderaan itu terhempas ke sungai,” katanya.

Difahamkan, mayat tiga beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.