PN tak bincang tawar Tajuddin bertanding PRU-15, kata Ahmad Faizal

0
57

PERIKATAN Nasional (PN) Perak tidak pernah berbincang untuk menawarkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjadi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketetapan itu merupakan hak pucuk pimpinan gabungan tersebut dan keputusan Pas menawarkan Tajuddin merupakan pandangan parti tersebut dan tidak melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya tak boleh komen perkara yang tidak melibatkan saya. Itu hak pucuk pimpinan, kami tidak berbincang tentang perkara itu (tawaran kepada Tajuddin).

“Kita tidak terlibat dalam parti orang lain. Ia terpulang kepada Pas, itu hak mereka untuk bagi pandangan. Bagi pihak Bersatu kita tak bincang pun tentang perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di Ipoh, hari ini, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, kerjasama parti-parti PN di Perak kekal utuh dan kuat.

Beliau berkata, biarpun tiada perbincangan lanjut mengenai pembahagian kerusi pada PRU-15, kesemua parti bersepakat untuk bertanding atas nama PN.

Sebelum ini, media melaporkan Pas Perak mempelawa Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak untuk bertanding atas tiket PN pada PRU-15.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria dilaporkan berkata, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu boleh mempertimbangkan pelawaan berkenaan sekiranya beliau tidak diberikan tempat oleh Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU-15.

Media kelmarin melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO berkuat kuasa 21 Jun lalu atas alasan sikap beliau yang mengkritik parti.

Sebelum ini Tajuddin turut digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan beliau juga dilihat kerap kali bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk PRU15 diadakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here