Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki lemas di Empangan Bakun -

Lelaki lemas di Empangan Bakun

LELAKI yang dilaporkan hilang di Ulu Naha Nyabong, di hulu Empangan Bakun, Sarawak, Selasa lalu ditemukan lemas, malam tadi.

Mayat Heli Nyalong, 36, ditemukan terapung oleh penduduk kampung pada jam 9.40 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa timbul berdekatan dengan perahunya yang ditemukan hanyut sebelum ini.

Beliau berkata, mayat mangsa berasal dari Uma Bakah, Sungai Asap di Belaga ditempatkan di rumah panjang sementara menunggu dibawa ke Hospital Nyabau di Bintulu, Sarawak.

“Mayat dibawa dari rumah panjang ke jeti Bakun pada jam 6.30 pagi ini untuk dihantar ke Hospital Nyabau untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor BH Online.

Berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, katanya, mangsa dipercayai terjatuh selepas perahunya terlanggar pokok di dalam empangan hidro elektrik itu.

Kehilangan mangsa dimaklumkan oleh polis Belaga kepada pihak bomba pada jam 3.15 petang, Selasa lalu.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan oleh empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga.

SAR itu turut dibantu lima anggota polis, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam APM), dua anggota Lembaga Sungai Sarawak (LSS) dan 46 penduduk kampung.