Bersatu Perlis lumpuh hanya satu propaganda – Abu Bakar

DAKWAAN bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis kini lumpuh disifatkan sebagai propaganda malah sehingga kini, tiada sebarang surat rasmi daripada individu yang sebelum ini mengisytiharkan keluar parti itu.

Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, dakwaan kononnya Bersatu bahagian Kangar turut lumpuh adalah tidak benar.

“Bersatu bahagian Kangar masih dipertahankan. Dakwaan 1,000 ahli keluar parti adalah propaganda.

“Saya belum terima satu surat rasmi mengatakan individu itu letak jawatan. Sekadar umum tetapi tidak sampai sebarang surat yang mengatakan mereka isytihar keluar parti,” katanya lapor portal FMT hari ini.

Beliau ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke MyFarm Village di Kuala Perlis.

Abu Bakar berkata, beliau yakin 3,000 ahli Bersatu Perlis yang ada masih setia dan semua 36 cawangan parti itu masih aktif.

Katanya, tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) akan menerajui kerajaan Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dengan bantuan PAS dan (parti komponen), PN (boleh tawan Perlis). Apa yang penting, ahli Bersatu sedar ini parti baharu dan yakin mempunyai jentera yang mampu memberi kejutan pada PRU15,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini, di Perlis, PAS memiliki dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya memerlukan tambahan enam kerusi lagi untuk menguasai Perlis.

“Kalau ada lapan kerusi boleh kuasai kerajaan negeri,” katanya.