Segelintir pemimpin UMNO cari alasan nak berpisah dengan MN

0
31

Oleh RIZQI ZABIDI

SEGELINTIR pemimpin UMNO dilihat sedang mencari alasan untuk berpisah dengan Muafakat Nasional (MN) melalui cara menyerang Pas setelah mereka merasakan parti itu kini berada di kedudukan yang kuat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, antara faktor yang menyebabkan individu terlibat merasakan UMNO sudah kuat adalah disebabkan jawatan Perdana Menteri kini dipegang oleh Naib Presiden parti itu.

Namun kata beliau, UMNO sebenarnya kini tidaklah kuat dengan perkara itu turut boleh dilihat melalui reaksi rakyat di media sosial.

“Selain itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, hanya berapa peratus saja keluar mengundi? UMNO kena kaji semula perkara ini.

“Lebih-lebih lagi apabila kita mulakan undi 18. Kita dah ada angka menerusi kajian dibuat, golongan undi 18 ini macam mana hubungannya dengan UMNO.

“Jadi mereka jangan yakin dan sombong sangat. Kalau mereka nak pecah, Pas tak ada masalah kerana Pas ini kalau lawan dengan UMNO, pukul 3 pagi pun kami bangkit,” katanya.

Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Utara di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

Terdahulu beliau disoal wartawan mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa UMNO telah beberapa kali menerima akibat daripada muslihat politik Pas.

Mengulas lanjut katanya, Pas sama sekali tidak berminat untuk menumpukan kepada perkara yang remeh ketika agenda lebih besar perlu diutamakan menerusi perpaduan ummah yang dilihat mampu membawa kebaikan serta kestabilan buat negara.

“Kalau kata Pas bermuslihat, apa muslihatnya? Cuba beritahu kerana kalau kita nak dedahkan muslihat UMNO, keadaannya lagi teruk.

“Saya tak mahu cetuskan sebab kalau kita timbulkan muslihat UMNO sebelum dan selepas MN diwujudkan serta setelah wujud pula Perikatan Nasional (PN), itu lagi teruk. Tapi kita tak naklah buat begitu,” katanya.

Tambahnya, kalangan pemimpin UMNO perlu beringat bahawa agak mudah untuk semua pihak berpecah namun untuk berkawan merupakan satu perkara yang susah.

“Kalau saya sebut, cukup sensitif tetapi selama 60 tahun, macam-macam muslihat Pas kena semasa UMNO sedang kuat, sewaktu UMNO ada segala elemen serta jentera tetapi kita tak ada masalah untuk lawan.

“Sekarang ini UMNO bukan lagi dominan dan kalau kita nak lawan UMNO, tak ada masalah langsung. Kita cukup lasak dalam melawan UMNO tetapi Pas lebih menumpukan kepada perpaduan kerana kita melihat agenda lebih besar demi negara,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here