Cacar monyet: Imigresen lakukan pemeriksaan di pintu sempadan Johor

0
280

JABATAN Imigresen melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap pengembara yang tiba di pintu sempadan negeri Johor susulan laporan kes jangkitan cacar monyet atau monkeypox di Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata setiap pegawai Imigresen juga telah diberikan surat pemberitahuan untuk melakukan pemeriksaan khususnya terhadap individu yang mempunyai simptom.

“Memandangkan hari ini Singapura, ada kes import cacar monyet dan sedang buat rawatan, jadi kita siap siaga dan telah beri surat amaran kepada semua petugas Imigresen khususnya di sempadan.

“Mereka akan menjadi penyaring utama di pintu masuk kita, kalau sesiapa yang masuk Malaysia ada simptom-simptom mereka perlu terus lapor kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Terdahulu, Singapura mengesahkan satu kes import jangkitan cacar monyet di republik itu membabitkan seorang lelaki warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pramugara.

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura, lelaki itu berada di republik berkenaan antara 15 hingga 17 Jun 2022 dan sekali lagi pada 19 Jun. 

Sementara itu, Ling berkata tahap kesihatan pengembara juga akan dipantau Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi aplikasi MySejahtera.

“Jika (semasa diperiksa) pengembara atau yang tinggal di luar negara ini tidak ada simptom, kita akan minta mereka membuka MySejahtera dan jawab soalan, lapor keadaan kesihatan mereka ketika di luar negara dalam masa 14 hari,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here