Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dera kucing: Lelaki direman tiga hari -

Dera kucing: Lelaki direman tiga hari

SEORANG lelaki berusia 27 tahun dikenakan perintah reman di Mahkamah Majistret 2 Sungai Petani bagi membantu siasatan kes penderaan terhadap haiwan dalam kejadian di Semeling, Kuala Muda, Kedah pada Sabtu.

Permohonan reman dibenarkan Majistret Noor Fazlina Musa selama tiga hari ke atas lelaki itu yang bermula pada Selasa, mengikut laporan Sinar Harian.

Lelaki terbabit yang memakai baju-T warna merah dan berseluar panjang dilihat tenang ketika diiringi anggota polis.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, suspek didakwa bertindak keterlaluan dengan cara menendang dan membaling batu ke arah binatang berkenaan.

Kejadian yang berlaku di hadapan sebuah premis kedai di Semeling pada kira-kira jam 1.09 pagi itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dalam kenyataan sebelum ini berkata, polis menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap kucing di hadapan premis tempat kerjanya.

Menurut Zaidy, susulan laporan itu, satu tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun di rumahnya dekat Kampung Pengkalan Merbok, Bujang pada jam 1.29 petang Isnin.

Zaidy berkata, hasil soal siasat awal dijalankan mendapati suspek mendakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.

Media sebelum ini melaporkan, tular sebuah video menunjukkan tindakan seorang lelaki yang didakwa menendang dan membaling objek dipercayai batu kepada kucing di kaki lima premis kedai bangunan tersebut, mendapat reaksi pengguna media sosial.

Susulan kejadian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah telah bertindak menyelamatkan kucing tersebut seterusnya dibawa untuk rawatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap haiwan.

Kes juga disiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Veterinar).