Keluarga Nazrin mohon pendakwaan rayu keputusan mahkamah bebas Sarimah

0
298

AHLI keluarga Nazrin Hassan mahu pasukan pendakwaan merayu terhadap keputusan mahkmah yang melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu empat tahun lalu.

Abang kepada mangsa, Dr Abdul Aziz, 62 berkata rayuan itu demi mencari kebenaran dan keadilan terhadap pembunuhan Nazrin, lapor BH Online.

“Kita bersyukur dengan keputusan mahkamah, walaupun ia tidak memihak kepada keluarga. In shaa Allah, kebenaran akan timbul dan kami berdoa sebegitu.

“Isu tidak berpuas hati atau tidak, kita kena terima sebagai takdir. Kita mahu terus usaha untuk cari keadilan. Jika pihak pendakwaan tidak buat rayuan, saya akan berbuat demikian dan meminta inkues bagaimana Nazrin maut,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, pada Selasa.

Terdahulu, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47 yang juga merupakan balu Allahyarham Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.

Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah; Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi, sementara pasukan pembelaan terdiri daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.

Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) KualaLumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan yang bermula 6 September 2019 itu melibatkan Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari kerana didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Difahamkan, pasukan pendakwaan akan merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum membuat keputusan untuk merayu atau sebaliknya terhadap keputusan berkenaan.

Kakak Nazrin, Che Elainee Che Hassan, 65, pula berkata ahli keluarga menerima keputusan itu dan berserah kepada Allah.

“Kami hanya mahu kebenaran, itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika sidang media berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pembunuhan itu berlaku antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga jam 1 pagi 14 Jun 2018 mengikut kertas pertuduhan.

“Seorang saksi memberi keterangan bahawa pembunuhan berlaku antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari pada 14 Jun 2018, bukan seperti dalam kertas pertuduhan. Merujuk masa pembunuhan dinyatakan saksi, ketiga-tiga OKT tidak boleh ditempatkan pada masa itu.

“Terlalu banyak benda tidak menentu. Pihak pendakwaan tidak boleh membuktikan dengan kukuh kes ini iaitu masa pembunuhan seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here