Sasaran Gerakan tanding 35 kerusi Parlimen, 62 DUN tidak realistik – Penganalisis

0
41

PENGANALISIS politik menyifatkan sasaran Gerakan bertanding 35 kerusi Parlimen dan 62 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak realistik berbanding kekuatan parti itu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, walaupun Gerakan menyertai PRU kali ini sebagai sekutu Perikatan Nasional (PN), parti pimpinan Dominic Lau itu akan berdepan laluan sukar dan mungkin gagal memenangi walaupun satu kerusi Parlimen.

“Pada PRU lepas, semasa dalam Barisan Nasional (BN) dulu pun, Gerakan gagal memenangi walaupun satu kerusi. Kali ini mereka dijangka menerima nasib sama,” katanya memetik laporan FMT.

Pada PRU14, Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi, apabila kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya atas tiket BN.

Semalam, Lau dilaporkan berkata, parti itu fokus kepada kualiti dan bukannya kuantiti, oleh itu kerusi yang menjadi sasaran atau berpeluang tinggi untuk menang sahaja akan ditandingi Gerakan.

Katanya, senarai kerusi itu sudah diterima daripada ketua parti negeri dan pengerusi negeri diarah berunding dengan ketua PN negeri secepat mungkin.

Awang Azman berkata, Gerakan masih tidak mampu bersaing dengan DAP dan PKR untuk memenangi kerusi campuran atau majoriti Cina.

Katanya, Gerakan kurang berjaya dalam memikat pengundi Cina dan India, jadi sukar untuknya bergerak ke hadapan.

Penganalisis keselamatan dan politik dari Universiti Teknologi Mara, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, walaupun menyedari ia berdepan laluan sukar, Gerakan masih menyasarkan untuk bertanding di banyak kerusi Parlimen dan DUN supaya ia kekal relevan dalam politik negara.

“Ini salah satu strategi politik untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Gerakan akan berhadapan laluan sukar, tapi mereka perlu merangka manifesto bukan retorik, manifesto yang terbukti boleh dilaksanakan dan memastikan pengundi yakin dengan manifesto dibentangkannya.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here