Operasi Pembenihan Awan di Empangan Bukit Merah bermula hari ini

OPERASI Pembenihan Awan (OPA) di Empangan Bukit Merah, Perak akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa, Pertanian Perladangan dan Industri Makanan, Razman Zakaria, berkata OPA akan dijalankan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ia akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala kos ditanggung oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Operasi selama tiga hari ini dijalankan di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, Semanggol membabitkan kawasan sawah seluas 19,058 hektar di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan 1,267 hektar Kawasan IADA Pulau Pinang.

“Bagi kedalaman Empangan Bukit Merah hari ini mencatatkan 27 kaki dan menghampiri paras normal manakala taburan hujan di kawasan ini mencatatkan 0.7milimeter,” katanya, lapor BH Online.

Sementara itu pesawah, Norpadli Samad, 42, berkata pesawah di kawasan Parit Mat Keling, di sini berharap pembenihan awan yang dilakukan dapat memulihkan semula paras air di empangan.

Katanya, pesawah khususnya di Bagan Serai, Semanggol dan Selinsing amat memerlukan bekalan air yang mencukupi, berikutan usia sawah padi baru mencecah sebulan hingga 50 hari.

“Pada usia sebegini, sawah padi yang berusia sebulan dan ke atas sememangnya memerlukan air dalam kuantiti yang banyak.

“Dah berminggu-minggu sawah padi kami ‘dahagakan’ air dan hanya bertahan menggunakan air hujan yang bertakung disawah padi sahaja.

“Kami berharap OPA ini berjaya dan dapat memulihkan kembali empangan Bukit Merah,” katanya.