Gaduh dengan isteri, bakar rumah sendiri

0
368

SEORANG lelaki melecur di bahagian badan selepas bertindak membakar rumahnya sendiri dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan, Keningau, Sabah, pada malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 62 tahun terbabit bertindak sedemikian selepas berselisih faham dengan isterinya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 10.36 malam dan seterusnya memaklumkan kepada pihak bomba.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan mengalami kecederaan dan menurut saksi, badan mangsa melecur terkena api ketika sedang menyalakan api.

“Mangsa melecur di bahagian badan sebanyak 40 peratus manakala isteri mangsa selamat kerana tidak berada di lokasi kejadian,” katanya, lapor Sinar Harian.

Katanya, akibat kejadian itu rumahnya musnah dijilat api selain sebuah kenderaan rosak.

Nor Rafidah berkata, kes masih dalam siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih belum diketahui.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 21 kilometer.

“Sebaik tiba, sebuah rumah jenis tidak kekal musnah terbakar 100 peratus dan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max terbakar 30 peratus.

“Jentera bomba mengalami kesukaran untuk ke lokasi mangsa kerana laluan sempit dan terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejauh dua kilometer dari jalan besar untuk ke lokasi,” katanya.

Katanya lagi, terdapat seorang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan iaitu melecur di bahagian badan dalam kejadian itu.

“Rawatan awal dilakukan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

“Operasi dilaporkan terkawal pada jam 11.10 malam dan ditamatkan pada jam 12.10 tengah malam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here