TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.
Bekas perdana menteri itu berkata, gambaran yang seolah beliau menerima sogokan itu adalah palsu kerana pada ketika itu beliau sedang menjalani pembedahan kanser dan tugasan sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN) telah diambil alih oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut.
“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
“Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Jumaat.
Tambah beliau, rawatan dijalani di sebuah hospital di luar negara dan ia mustahil untuk menerima sogokan ketika berada dalam keadaan sedemikian.
Tegasnya, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas dan beliau tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan tersebut.
“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya,” katanya.
Beliau berkata, pihak pendakwaan diharap akan menjelaskan perkara tersebut supaya tidak menimbulkan fitnah sedangkan beliau tegas menentang rasuah.
“Saya juga bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan ini,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.
Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.