Kapal tangki bawa 170,000 liter diesel ditahan

0
227

KAPAL tangki berisi 170,000 liter diesel bernilai hampir RM900,000 ditahan di perairan ini selepas disyaki membawa muatan itu tanpa kebenaran.

Harian Metro melaporkan, penahanan dibuat oleh pasukan bot ronda Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Teluk Sepanggar, di sini pada 2 petang semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, anggota menahan kapal tangki itu selepas dikesan mencurigakan.

“Kapal tangki itu dikendalikan empat kru termasuk nakhoda warga tempatan berusia antara 24 hingga 72 tahun dan pemeriksaan menemui 170,000 liter diesel yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal pula didapati ia sengaja dimatikan hingga menimbulkan kecurigaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata, kapal itu juga melakukan kesalahan lain antaranya, dokumen pertukaran butiran syarikat yang tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal serta ia tidak berdaftar di negara ini.

“Pengoperasiannya tanpa kru lengkap seperti dalam Daftar Keselamatan Kapal dan nakhoda, ketua jurutera serta kru tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya, selain peralatan keselamatan tidak mencukupi,” katanya.

Mohd Rosli berkata, kapal dan kru ditahan dan diiringi ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Bekalan 1961.

Beliau meminta warga maritim untuk melaporkan sebarang salah laku di perairan ke Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here