Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kaamatan tunjang perpaduan masyarakat  -

Kaamatan tunjang perpaduan masyarakat 

SAMBUTAN Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai 2022 kekal sebagai tunjang perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri Sabah sejajar pengiktirafannya sebagai perayaan nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan, berkata Pesta Kaamatan merupakan inovasi kesejahteraan masyarakat yang boleh diraikan oleh pelbagai kaum kerana dalam acara Kaamatan dapat memberi pedoman hidup untuk saling bermesra dan bekerjasama demi meningkatkan taraf hidup.

Menurut Fairuz, hanya masyarakat bersatu padu sahaja yang dapat menyumbang kepada kemajuan negeri serta negara kerana tanpa perpaduan sukar merealisasikan aspirasi keluarga Malaysia.

 “Tanpa perpaduan masyarakat kita tidak akan maju dan amat sukar untuk menyatukan idea dan pemikiran.

“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Semoga Kaamatan tahun ini membawa sinar baharu dan rezeki yang baik kepada semua,”  katanya semasa merasmikan Pesta Kaamatan 2022 Gabungan Mukim Timbang dan Dudar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan di Dewan Kampung Dudar, Sabah, lapor SabahTaim.

Turut hadir ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Pintasan, Husaimi Maslin dan Pengerusi Penganjur, Sadar Abin Datin merangkap Ketua Anak Negeri (KAN).

Tadau Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut masyarakat rumpun Kadazandusun di Sabah sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.

Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi merupakan tema pesta Kaamatan tahun ini bertepatan isu perubahan iklim yang sedang melanda seluruh dunia.

Kira-kira 4,000 penduduk setempat memeriahkan sambutan berkenaan.

Fairuz berkata, setiap kaum mempunyai kepakaran dan kelebihan tersendiri, umpamanya Kadazandusun pakar dalam pertanian dan sebagainya dan begitu juga kaum yang lain.

Katanya, hanya dengan perpaduan sahaja kepakaran itu dapat disatukan dan memanfaatkan rakyat serta negara.

“Saya mengharapkan melalui perpaduan, rakyat mendapat kesejahteraan dan kesepaduan pemikiran untuk maju bersama hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.