[VIDEO] Tarif elektrik naik? Rakyat jadi makin pening

0
1035

BAGAI antan patah, lesung pun hilang. Itulah perumpaan bagi situasi yang dihadapi rakyat negara ini apabila bil elektrik pula dijangka naik.

Tinjauan SatuBerita di sekitar Bandar Sri Permaisuri, Cheras mendapati rata-rata masyarakat merasakan ketika ini bukan masa yang sesuai sekiranya kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan kos bil elektrik.

Bagi Mohammad Khairul Rosli, 33 berkata, tindakan itu amat tidak wajar apabila rakyat yang sudah sedia ada terbeban, semakin tertekan sehingga menyebabkan ramai orang mengambil keputusan yang tidak sepatutnya bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya rasa sangat tidak wajar, rakyat sudah cukup tertekan. Malah, makin ramai yang ambil keputusan yang bukan-bukan kerana sudah tidak tahan.

“Kerajaan sepatutnya perlu lebih peka, buka lah mata. Rakyat sudah lama berbunyi. Ambil langkah yang sepatutnya, sebelum rakyat bertambah marah kepada mereka,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Mohammad Iqbal Hakimmi, 25 berpandangan, kerajaan tidak sepatutnya memandang perkara ini sebagai satu perkara kecil dan hanya membiarkan rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin meruncing saban hari.

“Kita rakyat, nampak kerajaan tidak ada alternatif untuk perjuangkan perkara ini. Malah tidak beri amaran kepada rakyat. Tiba-tiba sahaja barangan naik harga. Ini sangat tidak patut, perlu diusul dan dibincang kembali sebelum buat keputusan. Mereka anggap kenaikan gaji minimum RM1,500 sudah boleh tampung semua perkara.

“Rakyat tengah susah, saya kalau nak tampung kehidupan kena buat dua hingga tiga kerja. Itu belum masuk kos motor, kereta, rumah, dan keluarga lagi. Saya bujang mungkin tidak begitu terasa, bagi mereka yang berkahwin bagaimana,” luahnya.

Sementara itu, Tan Hock Siong, 42 berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan keadaan rakyat selepas pandemik yang masih lagi terumbang-ambing apabila gaji yang diperoleh tidak mencukupi sekiranya mahu meningkatkan kos bil elektrik.

“Ini bukan masa yang sesuai, memang saya tidak setuju. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),masih ramai yang tidak dapat gaji mencukupi dalam dua tahun kebelakangan ini. Sekarang barang sudah naik harga, elektrik pun naik harga, hidup semakin susah lah.

“Rakyat sampai sekarang pun masih lagi dalam fasa pemulihan. Kalau semua benda naik harga, pada saya pemulihan ekonomi rakyat akan ambil masa yang lebih lama,” ujarnya.

Bagi Parvatha, 49 pula, dirinya berpandangan masalah ini timbul apabila kurangnya perlindungan terhadap pengguna oleh kerajaan sehingga terdapat pihak menaikkan harga barangan sesuka hati ekoran kurangnya penguatkuasaan.

“Kalau nak naik harga pun, biarlah masih mampu ditanggung rakyat. Kita selepas pandemik, ramai yang mengalami pemotongan gaji, ada yang dibuang kerja. Pergi kerja baharu pun, gaji mereka tidak seberapa.

“Apa yang saya perasan, negara kita kurang perlindungan terhadap pengguna. Tengoklah harga barang mentah, suka hati sahaja harga dinaikkan. Kerajaan perlu lindungi rakyat. Kita perlu ada perlindungan untuk pengguna. Semua orang pun terasa beban.Kerajaan perlu ada rancangan untuk tangani masalah ini,” katanya.

Manakala bagi Muhammad Danial Elias, 20 mengakui dirinya yang sedang menanggung keluarga semakin ‘pening’ sekiranya harga bil elektrik dinaikkan oleh kerajaan.

“Ini turut menjejaskan mereka yang baru mahu mula bekerja, gaji tidak begitu stabil. Kerajaan tolong bincangkan balik mengenai masalah kenaikan harga ini. Kita semua bukan orang senang.

“Secara peribadi, diri saya agak terkesan. Perbelanjaan pun agak tipis sejak harga barang naik. Kena buat kira-kira bila nak beli barang. Masalah ini amat memeningkan,” luahnya.

Terdahulu pada Selasa, media melaporkan bil elektrik domestik di negara ini dijangka mengalami kenaikan harga ekoran krisis Ukraine – Russia yang telah mengakibatkan kos arang meningkat sebanyak empat kali ganda di pasaran global.—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here