[VIDEO] Azmin, Rashid tidak tinggalkan Bersatu – Muhyiddin

0
518

DESAS-desus Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Rashid Hasnon yang akan mengikut langkah Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti tersebut adalah tidak benar.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, desas-desus itu tidak benar dan beliau bersama Azmin Ali sentiasa duduk berbincang mengenai masa hadapan negara.

“Setahu saya tidak betul, saya rapat dengan Datuk Azmin, dia adalah menteri yang datang daripada Bersatu dan kita kerap bincang, bukan soal masuk keluar (parti), soal masa hadapan.

“Ini membuktikan Datuk Azmin baik, Datuk Rashid Hasnon saya sambut Hari Raya bersama dengan beliau, beliau tidak ada cerita tentang itu.

“Desas-desus itu tidak berasas, kenapa orang nak beri sasaran dan tumpuan kepada Bersatu, Bersatu parti yang kecil sahaja,“ katanya pada Sidang Media selepas Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Selain Zuraida, beberapa nama lain turut disebut-sebut akan mengambil tindakan sama termasuk Mohamed Azmin dan Mohd Rashid.

Mengulas mengenai kuota anggota kabinet selepas peletakan jawatan Zuraida, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata beliau sudah berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri, selepas Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Zuraida.

“Saya dah berhubung dengan PM, kedudukan itu saya sudah nyatakan dalam kenyataan, PM maklum dia akan jumpa saya selepas dia berjumpa dengan Zuraida, dari segi pendirian kita, Zuraida duduk di situ atas kapasiti sebagai Ahli Bersatu.

“Memang pun semenjak saya dahulu, kuota itu adalah kuota. Keputusan untuk melantik siapa adalah hak PM,” katanya lagi.

Terdahulu, Zuraida memaklumkan akan bertemu Perdana Menteri dalam masa terdekat membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here