PAS tidak gentar serta bersedia berdepan risiko sekiranya tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika terus kekal dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa gabungan parti lain.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kesediaan parti itu mengharungi senario itu adalah berdasarkan hasil kajian yang dilakukan melalui tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.
Menurut beliau, hasil daripada PRN Sabah, Melaka dan Johor, Pas mendapati pengundi yang mengundi gabungan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 tidak lagi berbuat demikian.
“Kita dapati, pengundi PH tidak mengundi PH (di tiga PRN). Sama ada mereka mengundi kita atau mereka tidak mengundi… mereka (juga) tidak mengundi Barisan Nasional (BN), jumlah sangat besar dan undi kita (Pas) naik di Melaka.
“Undi kita naik di Johor sehingga ada kawasan sampai 200 peratus naik undi itu, Cuma yang datang daripada kita tidak cukup lagi. Masa tak cukup, terlalu singkat, dengan sebab itu ada peningkatan dan kita akan usahakan lagi,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu turut menolak dakwaan pemimpin UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan Pas ‘gila kuasa’ kerana menolak PRU15 diadakan segera.
“Biasanya orang nak cepat (PRU) ini bila (kekalkan) kuasanya… orang yang tangguh-tangguh ini tak gila, fikir panjang, fikir panjang. Saya dah sebut kita fikir tentang rakyat.
“Rakyat menghadapi masalah yang banyak, Covid-19 masih belum diisytiharkan bebas lagi termasuklah hal-hal yang lain. Pilihan raya yang diadakan itu pun kerana dia paksa nak buat cepat, bukan kita (minta) dan kita masuk (bertanding) kerana terpaksa,” tegasnya.
Terdahulu, Nur Jazlan mendakwa, tindakan pemimpin Pas khususnya yang memegang jawatan dalam kerajaan campuran hari ini menolak untuk PRU15 diadakan awal adalah kerana mereka sudah kemaruk kuasa.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.