YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) mewakili 140 badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India di Jalan Pahang di sini, berhubung isu penghinaan Nabi Muhammad SAW.
Pengerusi MAIM Muhammad Najhan Shahir Halim berkata memorandum itu dihantar untuk memohon kerajaan India khasnya Parti Bharatiya Janata (BJP) mengenakan tindakan tegas melucutkan jawatan dalam parti atau kerajaan terhadap dua pemimpin parti itu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.
“Kami kesal dan dukacita terhadap kenyataan pemimpin BJP India, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan juga Naveen Jindal atas komennya di media sosial terhadap Nabi Muhammad.
“Kerajaan India khasnya Parti BJP perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam di serata dunia khasnya di India atas penghinaan ini dan berjanji tidak akan mengulangi pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum berkenaan.
Muhammad Najhan Shahir berkata pihaknya menyokong usaha dan tindakan tegas Kerajaan Malaysia yang memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia serta menyatakan bantahan rasmi terhadap negara itu.
Baru-baru ini dua jurucakap BJP yang mentadbir India telah mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah RA.
Perkara itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh negara, terutama di Asia Barat, yang mengutuk tindakan itu sehingga terdapat pusat beli-belah yang memunggah keluar produk India daripada rak jualan.
— BERNAMA
Friday , 10 June 2022
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.