WANITA yang memakai pelitup muka ketika berada dalam ihram tidak akan dikenakan dam, kata Pengarah Operasi Bimbingan Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah.
Beliau berkata ia adalah keputusan yang dicapai menerusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 sempena musim haji tahun ini, lapor Astro AWANI.
Perkara itu dibincangkan berikutan timbul pelbagai persoalan mengenai pemakaian pelitup muka yang dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi ketika ini.
Tengku Aziz berkata semasa wabak melanda, pemakaian pelitup muka yang diarahkan oleh pihak berkuasa bagi wanita adalah diharuskan dan tidak berdosa.
“Pada hukum asalnya, menutup muka ketika dalam masa ihram, bagi lelaki, tidak mempunyai sebarang masalah dan tidak dikenakan dam.
“Tetapi, bagi wanita, jika dia menutup muka, makan akan dikenakan dam kerana ia adalah satu larangan dalam ihram,” kata Tengku Aziz.
Tambahnya, berikuitan persoalan yang dibangkitkan, muzakarah haji telah memutuskan sekiranya pelitup muka itu diarahkan pemerintah dan setiap orang perlu mematuhinya, maka ia tidak akan dikenakan dam serta hukumnya menjadi harus.
Tengku Aziz berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan penginapan dan pengurusan TH di Abraj Al Janadriah susulan timbul pendapat berbeza berkaitan larangan terkini kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka dan tertutup.
Dam ialah satu daripada kaedah untuk menyempurnakan ibadah haji dan umrah atas sebab-sebab tertentu.
Selain itu, pihaknya telah mengarahkan semua pembimbing yang bertugas di bawah TH untuk memaklumkan hal tersebut kepada Jemaah haji menerusi sesi kursus dan ceramah di tanah air dan Tanah Suci bagi mengelakkan segala keraguan.
Tengku Aziz juga berkata perkembangan itu mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, mengikut arahan daripada kerajaan Arab Saudi.
Dalam perkembangan lain, seramai 200 petugas mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin malam tadi, bagi mendoakan agar urusan menyambut ketibaan 295 jemaah di Makkah, kira-kira 8 malam ini waktu Arab Saudi dipermudahkan.
Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dengan 48 penerbangan, iaitu yang terakhir pada 2 Julai.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.