‘Kabinet BN digalak cadang cara guna dana 1MDB’ – Bekas KSN

BEKAS Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini menjelaskan mengapa beliau merasakan syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk dijadikan sebagai dana politik untuk Barisan Nasional (BN).

Menurut laporan BH Online, Mohd Sidek ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata beliau beranggapan begitu kerana ada perbincangan Kabinet di mana menteri digalakkan mencadangkan bagaimana dana 1MDB boleh digunakan untuk membiayai projek di kawasan mereka.

Disoal lanjut oleh Sri Ram bagaimana beliau boleh merumuskan bahawa dana 1MDB adalah untuk dana politik BN, Mohd Sidek menjawab, “sebab semua menteri ketika itu ahli BN”.

Sri Ram kemudian menyoal saksi bahawa adalah bukan tugas Kabinet membincangkan mengenai parti politik, yang dijawab saksi, “Saya adalah penjawat awam, polisi kerajaan adalah polisi parti memerintah, sama ada BN atau apa saja namanya polisi kerajaan, oleh itu datangnya daripada parti atau parti gabungan dalam kerajaan.

“Kita sukar untuk membezakan antara keduanya,” katanya.

Semalam, Mohd Sidek yang juga ahli Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB, berkata disebabkan pemahaman itu, beliau tidak pernah bertanya kepada Datuk Seri Najib Razak atau mana-mana pihak dalam 1MDB mengenai permasalahan yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Katanya, beliau juga tidak pernah diberi taklimat atau diberitahu secara lanjut apakah butiran penyiasatan ke atas 1MDB dan Najib selaku Perdana Menteri ketika itu juga tidak pernah memberitahunya terdapat isu dalam 1MDB walaupun dilantik sebagai ahli BOA.