Selepas hantaran ‘Saya sayang awak’, MK masih berahsia

PENYAYI rap, MK K-Clique kini sedang dilamun cinta selepas dengan berani memuat naik satu gambar bersama seorang gadis, baru-baru ini menerusi aplikasi Instagram.

Foto yang memaparkan dirinya berpimpin tangan dengan wanita misteri itu menampilkan kedua-dua mereka mengenakan pakaian serba hitam ketika menghadiri rumah terbuka di sebuah dewan baru-baru ini.

Lebih mengecewakan peminat, artis kelahiran Tawau, Sabah itu juga meletakkan kapsyen ‘saya sayang awak’ dalam gambar itu.

Bagaimanapun, MK, atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan terus berteka-teki mengenai identiti sebenar gadis itu.

“Apa saya boleh cakap, hantaran yang dimuat naik sebagai satu penghargaan.

“Ia hanyalah hantaran untuk saya menghargai seseorang. Saya juga akan mempelbagaikan foto yang akan dimuat naik seperti gambar bersama keluarga dan rakan,” katanya, seperti yang dilaporkan BH Online.

Ditemui ketika menghadiri Malam Gala dan Pratonton filem Rompak baru-baru ini, MK juga enggan mendedahkan identiti kekasihnya itu.

Tambahnya, dia mahu berkongsi kehidupan peribadi kepada peminat tersayang.

“IG saya sudah terlalu banyak hantaran mengenai kerja, jadi saya rasa mahu berkongsi mengenai kehidupan peribadi pula.

“Jadi, saya mendedikasikan hantaran ini agar orang tahu siapa yang saya hargai. Jadi, saya mahu peminat anggap gadis berkenaan sebagai insan yang saya hargai, itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, artis berusia 26 tahun ini juga menjawab pertanyaan sensasi apabila segelintir pihak mendakwa dia sudah berkahwin.

Namun, MK menegaskan bahawa perkara itu hanyalah satu spekulasi meskipun ada juga yang mengatakan dirinya cuba untuk menyembunyikan hal sebenar.

“Perkara begini perlu dijelaskan, saya belum berkahwin. Saya masih dalam fasa memperbaiki dan mengenali diri.

“Adakah saya mampu menuju ke fasa perkahwinan selagi belum bersedia? Adakah saya mampu untuk membina keluarga dan membimbing isteri?” katanya.

Tambah MK, dia masih berada dalam proses belajar untuk menuju ke arah lebih baik serta mengakui bahawa pandemik Covid-19 serba sedikit membantunya dalam pelbagai hal.

Terdahulu, gadis bernama Hajar Siti yang didakwa sebagai kekasih MK mendapat perhatian dan menjadi carian paling popular dalam laman Facebook.

Ada juga yang mendakwa gadis berkenaan berasal daripada keluarga ternama dari Kuantan, Pahang.