KETIKA beberapa pemimpin UMNO begitu teruja mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpendapat sebaliknya.
Seperti dilaporkan The Straits Times Singapura, Khairy yang rangka lawatan kerja ke Singapura berkata, tiada keperluan untuk mendesak PRU-15 diadakan segera.
Sambil tidak menafikan kepentingan kestabilan politik namun beliau berpendapat tidak ada bezanya jika PRU-15 diadakan pada tahun ini atau tahun depan.
“Mereka yang mahukan pilihan raya sekarang adalah mereka yang terdesak mahu menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, beberapa pemimpin kanan parti itu dilihat cuba memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.
Malah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka meminta mereka yang berada dalam Dewan Merdeka bangun jika bersetuju PRU-15 perlu diadakan secepat mungkin manakala Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, melewat-lewatkan PRU boleh memberi masalah kepada BN.
“Kami hormati pandangan anda sebagai kepimpinan parti, tetapi kekal di landasan anda, tunggu giliran,” kata Khairy.
Khairy berada di Singapura bermula 31 Mei hingga 3 Jun sebagai Felow Pertukaran Lee Kuan Yew yang ketujuh dari Malaysia.
Dalam rangka kerja itu, beliau turut mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana Presiden.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.