49 warga asing miliki dokumen palsu ditahan

SERAMAI 49 warga asing ditahan Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan dan mempunyai dokumen disyaki palsu dalam operasi di sebuah kondominium di Ampang, tengah malam Jumaat.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, seramai 205 warga asing dari Afghanistan, Libya dan India berumur antara enam bulan dan 68 tahun diperiksa dalam operasi yang berlangsung kira-kira dua jam itu, menurut laporan Astro AWANI.

“Operasi malam ini melibatkan 31 orang pegawai Imigresen dan pemeriksan telah dilakukan pada 95 lelaki, 79 wanita dan 31 kanak-kanak melibatkan 197 warga Afghanistan, enam warga Libya dan dua warga India,” katanya kepada media selepas operasi terbabit.

Tambah Syamsul, kebanyakan warga Afghanistan yang diperiksa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang berlindung di negara ini disebabkan konflik di negara masing-masing.

Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 61C Akta Imigresen 1963.