Wanita maut, Mercedes-Benz rempuh lori baiki jalan

0
325

SEORANG wanita maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 9.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Puchong, Petaling Jaya, pukul 12.20 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan sebuah Mercedes Benz dan sebuah lori.

“Ketika kejadian, lori berkenaan berhenti di lorong kanan laluan terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan.

“Kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba datang dari arah belakang di lorong sama dan melanggar bahagian belakang lori terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa berusia 22 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

Dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki maut apabila motosikal dinaikinya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Kilometer 23.3 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Duta, Petaling Jaya, malam tadi.

Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here