TINDAKAN kumpulan kluster mahkamah dalam parti UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti adalah untuk menghalang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi presiden parti, kata Datuk Seri Nazri Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata sejarah Malaysia menyaksikan individu yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri akan disahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebagai timbalan presiden.
“Hampir semua timbalan perdana menteri dahulu dilantik memegang jawatan sama sebelum dipilih sebagai timbalan presiden.
“Datuk Seri Ismail dipilih oleh ahli-ahli Parlimen menjadi perdana menteri jadi tak logik kalau dia tak jadi Presiden dalam Parti,” katanya kepada MalaysiaNow.
Tambah Nazri, kepimpinan UMNO sedia ada dijangka tewas sekiranya pemilihan parti diadakan dalam masa terdekat.
Ini kerana rata-rata ahli UMNO tidak bersama-sama dengan pucuk pimpinan dalam soal tarikh pilihan raya.
“Mereka tidak mahu pilihan raya diadakan awal. Mereka ni orang yang jujur, yang terkesan dengan apa yang sedang berlaku.
“Kluster mahkamah dan mereka yang kalah pilihan raya sahaja yang mahu pilihan raya diadakan,” katanya.
Kluster mahkamah ini merujuk kepada sekumpulan ahli parlimen UMNO, diketuai presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempunyai pelbagai pertuduhan berkait jenayah, termasuk rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.
Baru-baru ini, dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Rabu menyaksikan Datuk Seri Zahid Hamidi mendesak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan sebelum akhir tahun ini sementara Datuk Seri Ismail Yaakob pula berkata pilihan raya perlu diadakan selepas BN benar-benar bersedia.
Sebelum ini, UMNO telah meminda perlembagaan parti dalam Perhimpunan Agung Khas bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum.
Nazri berkata, meskipun dia menyokong pindaan itu atas sebab menerima sokongan majoriti, beliau masih melihat ia sebagai sesuatu yang tidak boleh untuk terus dilaksanakan.
“Tempoh 18 bulan akhir ini ialah untuk kita mengadakan pemilihan parti, bukan digunakan untuk membuat sesuatu yang tidak dibenarkan dalam perlembagaan parti sebelum ini.
“Ia untuk masa depan, bukan untuk memanjangkan tempoh pemegang jawatan,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.